SINGAPURA: Malaysia bersama Singapura dan 15 negara lain pada Sabtu melancarkan Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges (GUIDE), iaitu kerangka bagi keselamatan infrastruktur bawah laut kritikal (CUI).
Pelancaran yang berlangsung di luar acara sempena Dialog Shangri-La (SLD) ke-23 itu menghimpunkan negara yang mempunyai kepentingan bersama dalam aspek keselamatan CUI.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata GUIDE adalah kerangka prinsip bersama yang membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara negara peserta dalam usaha memperkukuh keselamatan infrastruktur bawah laut kritikal, yang semakin penting kepada komunikasi, perdagangan dan kestabilan global.
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dan menangani cabaran keselamatan yang merentasi sempadan serantau dan negara,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura Chan Chun Sing berkata dasar laut kini menempatkan infrastruktur bawah laut kritikal yang menghubungkan grid tenaga dan telekomunikasi, sambil menambah bahawa sebarang gangguan pada satu bahagian rangkaian boleh menjejaskan keseluruhan sistem.
“Itulah sebabnya kami amat gembira melihat begitu banyak negara – dari Eropah ke Asia Barat hingga Asia Tenggara dan Asia Pasifik – berhimpun bersama,” katanya dalam kenyataan.
GUIDE turut disokong Australia, Brunei Darussalam, Estonia, Finland, Perancis, Itali, Latvia, Lithuania, Belanda, New Zealand, Filipina, Qatar, Sweden, Thailand dan United Kingdom.-BH Online
