KUALA LUMPUR: Tujuh Ahli Parlimen Kerajaan masih belum mengemukakan laporan berkaitan penggunaan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi tahun 2023.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, susulan itu bantuan di bawah Program MADANI Rakyat bagi kawasan terbabit akan ditangguhkan sehingga laporan lengkap diterima pihaknya.
“Laporan semua program MITRA memang perlu dikemukakan dan mesti ada. Selagi laporan itu belum diterima, dana MITRA bagi tahun 2026 tidak akan disalurkan.
“Program MADANI Rakyat membabitkan kerjasama antara MITRA dan Ahli Parlimen Kerajaan di 38 kawasan berpenduduk India yang padat.
“Ini bukan dana diberikan kepada mereka, tetapi dana daripada MITRA untuk melaksanakan program MITRA yang akan kembali memberi manfaat kepada komuniti India B40,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Ramanan berkata, tahun ini jumlah bantuan bagi program berkenaan ditingkatkan kepada RM150,000 bagi setiap kawasan, berbanding RM100,000 sebelum ini.
Pada masa sama, beliau berkata semua program yang dilaksanakan akan dipantau secara berkala bagi memastikan ketelusan penggunaan dana.
Menurutnya, pemantauan itu akan membabitkan beberapa agensi termasuk Unit Integriti serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-Astro Awani
