SEREMBAN: Penyertaan Malaysia dalam BRICS mampu memperkukuh kedudukan negara dalam persaingan ekonomi dunia, selain mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan tradisional yang didominasi kuasa besar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penubuhan blok itu bertujuan memastikan negara-negara selatan tidak terus dipinggirkan memandangkan BRICS menyumbang kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta mewakili populasi besar global.
“Agenda kita ialah memastikan negara BRICS dapat mempertingkatkan dan memaksimumkan keupayaan mereka supaya tidak terus tercicir terutama selepas pandemik COVID-19. Selain itu, banyak negara terbeban hutang, jadi saya rasa sistem kewangan dunia sekarang pun perlu dilihat semula.
“Kita tidak lagi mahu terlampau bergantung kepada satu sistem semata-mata,” katanya kepada media selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, di sini hari ini.
BRICS adalah gabungan beberapa negara ekonomi membangun yang bekerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, politik dan pembangunan global. Nama blok ini asalnya daripada huruf pertama negara pengasas, iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Malaysia kini mula memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dengan negara jiran, termasuk anggota ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kepada mata wang pihak ketiga.
Pada masa sama, katanya, usaha diperkukuh bagi meningkatkan perdagangan antara negara anggota serta mengukuhkan mata wang masing-masing melalui kerjasama ekonomi serantau.
“Ini sebabnya ringgit kita mengukuh kerana jumlah perdagangan negara meningkat dengan ketara, malah pada suku pertama tahun ini sahaja, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion.
“Malaysia negara dagang, apa saja usaha mempertingkatkan perdagangan negara, kita perlu lakukan dengan cara tersusun. Kita tak mahu terlalu terdedah dengan penggunaan mata wang asing, lebih baik berdagang guna mata wang negara dan bank pusat negara masing-masing,” katanya.
Menurutnya, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam BRICS memandangkan kedudukan negara sebagai anggota ASEAN dan negara dagang yang aktif pada peringkat antarabangsa.
Selain itu, kata Mohamad, Malaysia boleh menggunakan asas multilateralisme BRICS dan ASEAN sebagai kekuatan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Kini, Malaysia terus menjadi pilihan pelabur asing kerana dasar luar yang jelas, konsisten dan berprinsip, termasuk kekal dengan pendekatan berkecuali serta tegas terhadap isu pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.-BH Online
