KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual seorang guru terhadap murid tahun enam di sebuah sekolah di Johor sudah diserahkan kepada polis, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Katanya, guru yang terbabit dalam siasatan itu sudah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dalam kes gangguan seksual.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu terbabit sudah ditahan oleh pihak berkuasa. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina meminta masyarakat di negara ini supaya tampil melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.
Dalam masa sama, beliau berharap pihak berkuasa terbabit mesti mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan membabitkan mangsa kanak-kanak.
“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Masai.
Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam hantaran di Facebook, mendakwa guru besar sekolah membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.
Guru terbabit, dakwanya, sudah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.
Di Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan bawah kelolaannya susulan isu yang tular di media sosial membabitkan seorang guru di negeri ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak jabatan memaklumkan, beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk oleh pihak sekolah sehingga membawa kepada penahanan reman guru terbabit bagi membantu siasatan.
Jabatan berkenaan juga berharap polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh supaya tindakan undang-undang dapat diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah.
“Sepanjang proses siasatan, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah. Pada masa sama, Jabatan Pendidikan Johor turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi dan kesejahteraannya terpelihara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam kes ini,” menurut kenyataan berkenaan sambil menasihatkan mereka yang berdepan kes seumpama itu laporan polis dan tidak menarik semula laporan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.
Suspek dibawa ke mahkamah di sini hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.-BH Online
