KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menyedia bakat mahir dan profesional yang akan memacu pertumbuhan serta daya saing industri francais negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan industri francais yang terus berkembang, pembangunan bakat mahir dan profesional akan menjamin kelestarian bagi jangka panjang.
Katanya, selain jenama dan sistem perniagaan kukuh, francais berjaya bergantung pada tenaga kerja berkemampuan, yang dapat mengekalkan kualiti, konsistensi serta kecemerlangan operasi.
“Dalam hal ini, latihan TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan bakat yang tersedia untuk industri ini. Melalui pembelajaran praktikal dan secara langsung, TVET boleh melengkapi individu dengan kemahiran teknikal, digital dan perkhidmatan pengguna yang diperlukan oleh perniagaan francais hari ini.
“Kerjasama yang kukuh antara industri francais dan institusi TVET boleh membantu menangani kekurangan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan piawaian perkhidmatan merentasi sektor,” katanya dalam ucaptama pelancaran Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan.
FIM2026 yang berlangsung hari ini hingga Sabtu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat termasuk seminar dan forum perniagaan, pameran jenama francais tempatan dan antarabangsa, padanan perniagaan, perkongsian francais serta program edutainment.
Acara menghimpunkan lebih 100 jenama global itu dijangka mampu menjana lebih RM600 juta dalam nilai transaksi.
Ahmad Zahid berkata, sebagai sebahagian aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem bakat negara, Malaysia akan mendapat manfaat besar daripada institusi latihan khusus yang menyelaraskan program TVET dengan keperluan operasi dan industri perniagaan francais.
“Usaha-usaha ini akan mengukuhkan daya saing industri dan menyokong pengembangan mampan kedua-dua jenama francais tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran tinggi supaya industri francais Malaysia mencapai jualan RM100 bilion menjelang 2030.
Katanya, ini memerlukan pengembangan antarabangsa lebih kukuh, inovasi yang lebih besar, penggunaan digital dan pengukuhan berterusan ekosistem francais Malaysia.
“Dalam hal ini, saya menggalakkan KPDN, PERNAS, MFA dan semua pihak berkepentingan industri untuk terus mengukuhkan ekosistem francais melalui sokongan kewangan, inisiatif akses pasaran, pembangunan bakat dan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, industri francais Malaysia sudah menyumbang lebih RM36 bilion kepada ekonomi negara pada 2022, sekali gus mencerminkan kepentingan ekonomi yang semakin meningkat dan ketahanannya dalam suasana ekonomi global semakin kompetitif.
“Persekitaran perniagaan hari ini sedang berkembang pada kadar belum pernah berlaku. Kos operasi meningkat, jangkaan pengguna berubah, cabaran digital serta ketidakpastian ekonomi global sedang membentuk semula industri di seluruh dunia.
“Menghadapi realiti ini, kita mesti terus menyesuaikan diri, berinovasi dan memperkukuh ketahanannya. Francais perlu terus kekal sebagai salah satu model perniagaan yang paling tersusun dan paling berdaya tahan dalam ekonomi moden.
“Francais hari ini tidak lagi terhad kepada perniagaan makanan dan minuman. Ia berkembang ke sektor-sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, runcit, logistik, kesejahteraan, perkhidmatan automotif, pelancongan, teknologi dan perkhidmatan profesional, mencerminkan kepentingannya yang semakin meningkat dalam ekonomi yang pelbagai,” katanya.-BH Online
