KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong asas domestik Malaysia yang kekal kukuh.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9595/9630 berbanding dolar AS daripada 3.9675/9715 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka berada pada kedudukan lebih baik memandangkan negara terus mencatat lebihan akaun semasa, selain kerajaan kekal komited mengurangkan defisit fiskal.
Beliau berkata, berita mengenai kemungkinan pemuktamadan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan harga minyak mentah menurun, manakala Indeks Dolar AS (DXY) stabil sekitar paras 99 mata.
“Bagaimanapun, beberapa bank pusat masih berdepan tekanan untuk melaraskan kadar faedah bagi membendung penyusutan mata wang dan mengawal tekanan inflasi, terutama bagi ekonomi yang menghadapi defisit fiskal dan akaun semasa,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4906/4929 daripada 2.4942/4969 ketika ditutup pada Rabu, namun susut berbanding euro kepada 4.6037/6078 daripada 4.5975/6022 semalam dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3220/3267 daripada 5.3089/3143 sebelum ini.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0967/0997 daripada 3.0969/1003 ketika ditutup pada Rabu, naik berbanding baht Thailand kepada 12.1304/1468 daripada 12.1341/1516 semalam, mengukuh sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.4 daripada 224.7/225.0 sebelum ini, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.43/6.44. -BERNAMA
