Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji keperluan untuk meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 selepas lebih 4,000 kes direkodkan antara 2021 hingga Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kajian mendalam perlu dilakukan memandangkan kali terakhir Akta 521 itu dipinda adalah pada 2017.

Justeru, katanya usaha itu penting bagi memastikan kandungan akta terbabit kekal relevan dan tidak bercanggah peruntukan undang-undang lain yang sedia ada.

“Kita terpaksa kaji (keperluan pinda) sebab ada undang-undang lain yang mungkin lebih kurang isi kandungannya yang boleh dirujuk oleh mangsa.

“Jadi secara menyeluruh, apabila kita hendak meminda sesuatu undang-undang, kita perlu kaji supaya tidak bercanggah atau mengambil isi yang sudah ada dalam undang-undang lain,” katanya pada sidang media selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 4,276 kes keganasan rumah tangga direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 2021 sehingga Oktober tahun lalu.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Ismail Arul Raj Amirudin, berkata golongan wanita merekodkan jumlah mangsa tertinggi sepanjang tempoh berkenaan dengan 3,929 kes, manakala 347 kes lagi adalah mangsa lelaki.

JKM juga mengenal pasti lima faktor utama yang menyebabkan keganasan rumah tangga termasuk perilaku seorang yang panas baran.

Mengulas lanjut, Nancy berkata walaupun Akta 521 bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa KPWKM, namun akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan untuk memberikan input dalam setiap proses pindaan.

Dalam pada itu, Nancy menekankan kepentingan institusi kekeluargaan dalam menerapkan nilai murni bagi membendung budaya keganasan dari peringkat awal.

“Amalan menghormati antara satu sama lain, termasuk antara suami, isteri dan anak-anak adalah kunci kepada pembentukan warga yang bertanggungjawab.

“Mangsa keganasan atau gangguan seksual digesa untuk tampil berani melaporkan kes mereka melalui saluran sedia ada di Talian Kasih 15999 atau terus kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-BH Online