PUTRAJAYA: Landasan Ekonomi MADANI yang berteraskan dasar pro-pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal bertanggungjawab berjaya memperkukuh momentum ekonomi Malaysia.
Keberkesanan strategi berkenaan dibuktikan apabila ekonomi negara mengatasi jangkaan pasaran dengan merekodkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan menyeluruh itu memastikan daya tahan negara terus utuh.
“Fokus Kerajaan terhadap pembaharuan Ekonomi MADANI, yang berteraskan dasar pro-pertumbuhan, program berpaksikan rakyat dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, telah terus memperkukuh momentum ekonomi Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Pencapaian pertumbuhan kasar 5.4 peratus berkenaan adalah satu perkembangan positif kerana ia mengatasi unjuran 5.3 peratus yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan ramalan median Bloomberg.
null
Kadar berkenaan juga berjaya membina momentum kukuh melangkaui sasaran pertumbuhan 5.2 peratus yang direkodkan masing-masing pada tahun 2024 dan 2025.
Menurut Kementerian Kewangan, pengurusan fiskal yang cekap telah membolehkan kerajaan membantu rakyat mendepani peningkatan harga komoditi di peringkat antarabangsa.
“Pada masa yang sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab telah membolehkan Kerajaan menampan kesan harga bahan api global yang lebih tinggi ke atas rakyat dan perniagaan melalui langkah seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan peningkatan bantuan di bawah BUDI Diesel,” kata Anwar.
Dari sudut pelaksanaan program berpaksikan rakyat, kelangsungan perbelanjaan isi rumah telah mendorong pengembangan permintaan domestik sebanyak 5.2 peratus.
Kerancakan ini disokong secara langsung oleh pendapatan boleh guna yang lebih tinggi hasil daripada pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) untuk penjawat awam dan bantuan berterusan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dasar pro-pertumbuhan turut memberikan impak positif kepada pasaran buruh yang semakin rancak seiring dengan situasi inflasi yang terkawal.
Penciptaan peluang pekerjaan yang berterusan berjaya menurunkan kadar pengangguran negara kepada 2.9 peratus, iaitu pencapaian terendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi kekal pada kadar sederhana 1.6 peratus semasa suku berkenaan.
Keyakinan baharu terhadap ekonomi negara turut dicerminkan melalui prestasi cemerlang ringgit sebagai salah satu mata wang terbaik di Asia, lantunan Indeks FBM KLCI dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM22.8 bilion.
Kemasukan pelaburan yang mampan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data disokong oleh dasar pemudahan kerajaan dan persekitaran pelaburan yang kondusif.
Anwar berkata, walaupun kerajaan mencatatkan kejayaan membanggakan dalam pengurusan makroekonomi, Kementerian Kewangan kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan global, terutamanya kesan konflik di Asia Barat.
“Konflik antarabangsa yang berlarutan ini menimbulkan risiko terhadap permintaan global serta mampu mencetuskan gangguan bekalan pasaran dunia secara berterusan.
“Ancaman luaran ini perlu dipantau secara teliti kerana ia melibatkan peningkatan mendadak terhadap kos tenaga, kos logistik dan kos input. Sekiranya tekanan berkenaan berpanjangan, ia berisiko mencetuskan inflasi yang lebih tinggi lantas menjejaskan kelangsungan perniagaan serta momentum pertumbuhan domestik,” katanya.
Sebagai bukti kebertanggungjawaban dan ketelusan, Kerajaan MADANI telah merangka pelan pengurusan proaktif dengan menubuhkan sebuah pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dikhususkan untuk memantau perkembangan secara teliti dan menyelaras tindak balas masa nyata terhadap risiko yang muncul.
Di samping itu, komitmen terhadap pertumbuhan ekonomi domestik terus diperkasa dengan suntikan sokongan kewangan bagi membendung kesan luaran.
Setakat 14 Mei 2026, kerajaan telah mengumumkan RM15 bilion dalam sokongan pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembiayaan mikro, pinjaman perniagaan dan jaminan.
“Keutamaan segera kami adalah memastikan kestabilan ekonomi dan meminimumkan kesan luaran krisis terhadap rakyat. Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI kekal komited untuk meneruskan pembaharuan Ekonomi MADANI sambil memastikan pertumbuhan diterjemahkan kepada hasil yang nyata bagi rakyat,” kata Anwar.-BH Online
