NEW DELHI: Kerjasama gabungan BRICS dilihat semakin penting ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik dan gangguan terhadap pasaran tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan .
Mohamad berkata BRICS mempunyai potensi besar untuk membentuk rantaian bekalan global yang lebih pelbagai, stabil dan mampu bertahan ketika krisis global melanda.
“Dalam keadaan seni bina global yang semakin lemah, peningkatan risiko konflik geopolitik, serta ketidakstabilan pasaran tenaga dan rantaian bekalan global, kerjasama antara kita tidak pernah menjadi lebih penting daripada sekarang,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS di New Delhi pada Khamis.
Tambah beliau, BRICS merupakan antara blok yang menghimpunkan beberapa ekonomi paling produktif di dunia.
“Antara keutamaan awal dalam agenda kita ialah menyokong aliran perdagangan intra-BRICS dan pelaburan rentas sempadan yang lebih besar,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Mohamad melihat potensi besar kerjasama antara ASEAN dan BRICS dalam memperkukuh daya tahan ekonomi menerusi perdagangan, pembangunan infrastruktur berkualiti serta kerjasama teknologi dan pertumbuhan mampan.
Beliau berkata ASEAN kini semakin mendapat perhatian sebagai rantau yang neutral, berasaskan peraturan dan dinamik dari sudut ekonomi, sekali gus menawarkan alternatif menarik kepada pelabur yang mahu mempelbagaikan pasaran dan rantaian bekalan.
Mesyuarat BRICS kali ini berlangsung ketika konflik di Asia Barat terus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan geopolitik dan ekonomi dunia termasuk gangguan terhadap perdagangan antarabangsa serta keselamatan tenaga.-Astro Awani
