Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASEK GELUGOR: Isu kenaikan kos penanaman padidisebabkan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan akan dibincangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mesyuarat terdekat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Merujuk keluhan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mengenai kos bagi tujuan itu yang kini melambung sehingga mencecah antara RM6,000 hingga RM7,000 sehektar, beliau berkata, kementerian memang mengambil perhatian terhadap keluhan dan pandangan dikemukakan berkaitan isu pertanian.

Dalam isu penanaman padi, Mohamad berkata, setiap tuntutan serta aduan pesawah sentiasa diteliti pihaknya dari semasa ke semasa dan cuba diselesaikan mengikut padanan perbelanjaan serta kepentingan.

“Kita lihat semua aduan dan ambil semua pandangan untuk dibincang di peringkat kementerian, kita sensitif (terhadap isu berkaitan). Tuntutan mereka (pesawah), kita kena tengok juga padanan perbelanjaan dan sebagainya.

“Misalnya kita lihat sekarang, peringkat nak membajak (sawah), Perdana Menteri sendiri luluskan RM200 (sehektar) untuk nak mula membajak. Itu yang kita lihat, dari kepentingan semasa ke semasa. 

“Memanglah subsidi ini pun duit rakyat, tapi kita kena lihat dari semua segi (untuk bantu kurang beban pesawah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Guar Petai, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob menyifatkan Bantuan Khas Insentif Pembajakan sebanyak RM200 sehektar sepert diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, dijangka tidak mampu menyelesaikan isu struktur kos operasi pertanian yang semakin meruncing.

Tambahnya, ketiadaan subsidi diesel menyebabkan kos sewaan traktor meningkat 66 peratus daripada RM120 kepada RM200, manakala sewaan mesin padi meningkat 38 peratus daripada RM180 kepada RM250, menjadikan purata kenaikan kos jentera bersaiz besar melebihi 52 peratus.

Sehubungan itu, PeSAWAH berharap kerajaan mempertimbang pemberian kad fleet diesel secara bermusim kepada pesawah, iaitu selama tiga bulan untuk musim pembajakan dan tiga bulan bagi penuaian.

Terdahulu, Abdul Rashid mendedahkan hampir 90 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah, termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum memulakan penanaman padi bagi Musim 1/2026 susulan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air.

Perkembangan itu bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman, malah boleh memberi impak jangka panjang terhadap tahap sara diri beras (SSR) negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan bersedia mencari jalan bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

“Ketika ini bekalan makanan utama negara masih stabil. Stok penimbal beras negara berada sekitar 300,000 tan, bekalan ayam dan telur juga pada tahap sara diri yang baik,” katanya turut menitipkan pesanan kepada rakyat dalam menguruskan perbelanjaan. 

“Saya ingin berpesan mengenai sikap kita sebagai rakyat. Dalam keadaan dunia tidak menentu, kita mesti berjimat, elak pembaziran dan jangan buat pembelian panik, kerjasama rakyat amat diperlukan dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.-BH Online