Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mewartakan empat lagi kawasan hijau dan tanah lapang awam di ibu negara, kurang tiga minggu selepas pengumuman pewartaan 45 kawasan sama pada 15 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kawasan hijau dan lapang yang berjaya diwartakan setakat ini meningkat kepada 543 kawasan.

Katanya, empat tapak terbabit membabitkan dua kawasan lapang di Jalan Damai Puspa, Alam Damai di bawah Parlimen Bandar Tun Razak serta taman permainan dan dewan komuniti di Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras.

“Semua kawasan ini sudah lama digunakan penduduk setempat dan kini dilindungi secara rasmi sebagai kawasan hijau serta kemudahan awam.

“Kita menubuhkan pasukan petugas khas di bawah JWP untuk mempercepat proses pewartaan kawasan lapang kerana tanah di bandar seperti Kuala Lumpur sangat bernilai dan kita tidak mahu ia hilang suatu hari nanti,” katanya pada sidang media JWP Percepat Pewartaan Kawasan Hijau dan Lapang, di Taman Segar, di sini, hari ini.

null

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Hannah berkata, langkah itu selaras komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan lebih banyak kawasan hijau di ibu negara terus dipelihara untuk kegunaan awam, khususnya warga emas dan penduduk bandar.

“Ramai warga emas memilih untuk menetap di Kuala Lumpur selepas bersara, sebab itu ruang hijau sangat penting sebagai kawasan riadah dan tempat beriadah bersama rakan-rakan.

“Kawasan hijau ini ibarat ‘ruang bernafas’ kepada warga kota terutama pada waktu pagi dan petang,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 494 kawasan diwartakan pada 5 Februari lalu sebelum tambahan 45 kawasan diumumkan pada 15 April.

Katanya, orang ramai boleh menyemak kawasan yang sudah diwartakan menerusi portal rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kawasan yang diumumkan hari ini ditandakan dengan warna jingga dalam pelan pewartaan,” katanya.

Sementara itu, Kok Wai berkata pewartaan kawasan terbabit memberi kelegaan kepada penduduk sekitar Taman Segar termasuk komuniti berhampiran sempadan Selangor yang sekian lama bimbang kawasan berkenaan dibangunkan secara tidak terkawal.

Katanya, taman rekreasi dan bangunan Rukun Tetangga di kawasan itu sering digunakan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti harian.

“Penduduk bimbang kawasan ini dibangunkan sebagai kondominium atau pangsapuri bertingkat tinggi.

“Jadi pengumuman hari ini adalah berita paling menggembirakan kerana tanah lapang dan kawasan hijau ini bukan sahaja penting untuk generasi sekarang tetapi juga generasi akan datang,” katanya.

Mengulas cadangan pewartaan kawasan lain termasuk tanah bagi kompleks sukan di Taman Bukit Indah, Hannah berkata pasukan petugas khas JWP sedang mengenal pasti semua kawasan lapang dan taman awam untuk diwartakan secara berperingkat.

Katanya, isu membabitkan tanah utiliti dan kawasan sensitif pembangunan pula akan diteliti bersama Ahli Parlimen serta DBKL sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita sudah mewujudkan saluran khas antara Ahli Parlimen dan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi membincangkan isu seperti ini secara terus,” katanya.-BH Online