Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia menerima 850 pelajar perubatan Malaysia di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) menjalani latihan siswazah atau housemanship di tanah air susulan perubahan dasar oleh institusi berpusat di United Kingdom (UK) itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata masa depan kesemua mahasiswa terbabit juga tidak terjejas kerana ijazah di NUMed tetap diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971.

“Kami faham kekecewaan pelajar terhadap perubahan dasar di UK. Anda tidak akan terkandas walaupun UK mengubah dasar mereka, KKM sedia menyerap anda untuk menjalani latihan siswazah di 48 hospital latihan di seluruh Malaysia. 

“Namun fokus utama saya sebagai Menteri Kesihatan adalah memastikan bakat perubatan kita ada tempat untuk berkembang. Jika UK tutup pintu, Malaysia sentiasa buka pintu untuk anda pulang berkhidmat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect Conference 2026 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Clinical Research Malaysia (CRM), Dr Akhmal Yusof, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kebimbangan kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di NUMed yang berdepan ketidakpastian masa depan susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh UK yang mengubah syarat kemasukan ke Program Asasi (FY1/FY2).

Perubahan dasar itu menyebabkan pelajar NUMed kini tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Dzulkefly berkata, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) KKM turut mengesahkan tiada halangan untuk kumpulan graduan berkenaan dilatih di Malaysia menggunakan modul sedia ada, tertakluk syarat kemasukan sedia ada.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melalui sistem permohonan jawatan SPA9 dengan antara syarat memenuhi kriteria skim perkhidmatan, termasuk lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi bukan warganegara, selaras dengan peruntukan undang-undang, permohonan boleh dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Kontrak (JPPK) di bawah KKM sebelum disahkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan SPA,” katanya. 

Beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai kapasiti untuk menempatkan kesemua mahasiswa terbabit menjalani latihan siswazah dalam negara, selari dengan hasrat kerajaan mahu bakat tempatan berbakti di negara sendiri. -BH Online