Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Anwar Ibrahim disifatkan sabagai ‘Top Salesman’ atau jurujual terbaik Malaysia terutama ketika lawatan ke luar negara, demikian iktiraf Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.

Beliau memuji Perdana Menteri yang sentiasa bekerja keras dan memberi komitmen sepenuhnya dalam menjual jenama negara bagi menarik pelaburan.

Kekaguman Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) itu terhadap bosnya ketika Sidang Kemuncak Asean di Jakarta dan jadual ketat memenatkan ketika di Nanning, China sebelum ini, kini terserlah lagi di New York.

Walaupun baru tiba, bosnya itu tidak berlengah untuk mengadakan 11 tugasan ‘jurujual’ sepanjang hari pertama berada di negara ‘Uncle Sam’ itu.

Anwar dan Tengku Zafrul bersama delegasi Malaysia ketika ini berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNGA ke-78.

Seawal jam 8.30 pagi (malam di Malaysia), beliau diiringi Tengku Zafrul dan delegasi Malaysia, berjalan kaki sejauh kira-kira 15 minit dari hotel penginapan Conrad New York Midtown di 54th Street ke The Harvard Club of New York City dan Sofitel New York di 44th Street untuk sekali lagi menjadi jurujual, lapor BH.

Di Harvard Club, beliau mengadakan perbincangan meja bulat bersama 15 wakil syarikat terkemuka dalam Fortune 500, termasuk Airbnb, Amazon, AWS, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark yang dianjurkan MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Kemudian, Perdana Menteri beralih ke Sofitel untuk menghadiri satu lagi acara, Invest Malaysia New York anjuran Bursa Malaysia yang dihadiri pengurus dana dan wakil syarikat pasaran modal di AS serta berinteraksi dengan mereka dalam sesi soal jawab.

Dalam ucapannya, Anwar mempelawa pelabur antarabangsa datang ke Malaysia dan memberi jaminan bahawa transformasi yang dilaksanakan termasuk mewujudkan persekitaran mesra pelabur dan perniagaan bakal memberi manfaat kepada mereka.

Perdana Menteri menjelaskan kestabilan politik yang ditambah transformasi yang beliau laksanakan mula menampakkan kesan apabila pelabur mula menunjukkan minat.

Tugasan Anwar sebagai ‘jurujual’ pada hari pertama di New York berakhir pada jam 10.30 malam termasuk mengadakan tiga sesi mesyuarat perniagaan secara berasingan dengan sebuah syarikat, mesyuarat bersama Microsoft dan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Thailand, Strettha Thavisin dan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia’ Al Sudani.

Selain itu sesi temuramah oleh agensi media Bloomberg, dan bertemu Wakil Presiden Amerika Syarikat Untuk Cuaca, John Kerry yang juga bekas Setiausaha Negara. -Media Perpaduan