Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.

Presiden UMNO itu berkata, amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.

“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan.

“Pada hemat saya (ia) tidak semudah itu dan paling baik ialah mengikuti semua peraturan yang ada serta prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dulu.

“Saya akan menyelesaikan kemelut yang ada itu melalui politik dan kita tidak akan pernah campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun dalam undang-undang adat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini, hari ini.-BH Online