PUTRAJAYA: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi susulan isu berkaitan rungutan terhadap laungan azan dan kesesakan jalan raya ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Ampang, baru-baru ini.
Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain, khususnya dalam isu yang membabitkan sensitiviti agama.
“Sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan dengan tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Jabatan Hal Ehwal Agama hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata kempen ‘No Hajj Without a Permit’ atau tidak boleh menunaikan haji tanpa permit dilancarkan untuk musim haji tahun ini bagi menyahut seruan kerajaan Arab Saudi yang telah mempromosikan kempen berkenaan.
Menurutnya, Malaysia turut menyertai Muzakarah Haji serta mengeluarkan pandangan berhubung perkara itu.
Katanya, kempen berkenaan bertujuan menjaga kemaslahatan jemaah haji serta keselamatan umat Islam, termasuk mengelakkan kes penipuan dan scammer yang merugikan.
“Kempen ini bertujuan memastikan semua urusan dan pengurusan haji lebih tersusun, tertib dan benar-benar dapat memenuhi keperluan jemaah,” katanya.
Kempen ‘No Hajj Without a Permit’ dilancarkan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais, menggesa semua pihak menyokong kempen itu serta bekerjasama dengan agensi keselamatan yang melaksanakannya.-BH Online
