KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memuktamadkan rangka undang-undang serta pentadbiran bagi membolehkan program Tingkatan Enam dan matrikulasi dipindahkan ke bawah bidang kuasa kementerian itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa KPT akan mengambil alih sepenuhnya kedua-dua program prauniversiti itu bermula tahun ini.
“Proses peralihan itu perlu diuruskan teliti kerana membabitkan perubahan dari segi perundangan, memandangkan sebelum ini program berkenaan berada bawah KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat media sempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Republik Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan KPT kini memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kesinambungan lebih menyeluruh dalam sistem pendidikan negara susulan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Dengan peralihan daripada sistem peperiksaan berimpak tinggi di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, katanya laluan pendidikan daripada prasekolah hingga ke pengajian tinggi perlu lebih tersusun dan bersepadu.
“Antara perkara paling penting perlu kita lihat ialah bagaimana mewujudkan kesinambungan daripada peringkat asas hingga ke peringkat tertinggi.
“Kita tidak lagi boleh mempunyai proses yang terpisah-pisah… sebelum ini pelajar sering berdepan sistem pendidikan tidak selari apabila beralih antara peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
“Sehubungan itu, penyelarasan penting bagi memastikan bakat dihasilkan memenuhi keperluan perkembangan global dan kehendak pasaran kerja,” katanya.
Bagaimanapun, Zambry menegaskan pembangunan kurikulum perlu kekal berteraskan nilai kemanusiaan.
“Dalam usaha kita memajukan sistem ini, kita tidak boleh melupakan aspek asas iaitu membentuk insan. Kita perlu membina manusia, bukan melahirkan robot,” katanya.-BH Online
