Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Lebih 500 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disatukan dalam Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM bagi mewujudkan struktur tadbir urus yang kukuh bagi memastikan aspek kebajikan pesara tentera lebih terjamin. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kewujudan ratusan persatuan ini juga menyebabkan pelbagai pandangan dan cadangan demi kebajikan pesara tentera, namun ia boleh diselaraskan dengan adanya satu gabungan.

Beliau berkata, kepelbagaian itu mewujudkan pelbagai suara yang perlu diselaraskan, termasuk isu bersifat khusus yang tidak semestinya mewakili kepentingan keseluruhan komuniti veteran. 

“Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persepsi kurang baik terhadap tahap solidariti dalam kalangan persatuan veteran, malah meletakkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dalam keadaan mencabar untuk menentukan keutamaan isu yang perlu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan berharap gabungan ini akan berperanan sebagai platform utama dalam menambah baik tadbir urus persatuan secara menyeluruh, di samping membantu mengenal pasti isu-isu utama komuniti veteran untuk dibawa ke perhatian Majlis Veteran Kebangsaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, persatuan veteran memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai medium interaksi sosial, malah sebagai pemangkin kebajikan ahli serta ejen lapangan JHEV dalam menyampaikan maklumat dan menyelaras isu berkaitan veteran.

Pada konvensyen sama, beliau turut menyarankan pesara dan veteran ATM merebut peluang menjana pendapatan kedua dalam keadaan suasana semasa ekonomi global yang tidak menentu. 

“Veteran-veteran ATM dalam kalangan golongan muda umur, khususnya mereka yang dalam lingkungan umur 40-an dan 50-an diingatkan untuk tidak hanya bergantung kepada penerimaan pencen semata-mata. 

“Program Pro-Wira atau protege ATM, adalah sebagai antara satu peluang yang harus diambil oleh pesara dan veteran. Kita di Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak mahu melihat dan membiarkan veteran-veteran ATM terpinggir dan berhadapan dengan cabaran dan masalah kehidupan secata bersendirian. 

“Melalui program Pro-Wira, MINDEF menyediakan pelbagai program yang bertujuan untuk memperkasakan kebolehpasaran dan menyediakan kerjaya kedua kepada veteran termasuk latihan kerja di syarikat-syarikat yang berminat mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan veteran ATM,” katanya. 

Beliau berkata, sepanjang veteran itu dilatih untuk pekerjaan yang disertainya, kerajaan akan memberikan elaun sebanyak RM2,000 sebulan selama setahun, sekali gus memberikannya pendapatan kedua selepas pencen. 

Mohamed Khaled menegaskan komitmen MINDEF untuk memastikan komuniti veteran memiliki sumber dan sokongan yang mencukupi melalui ekosistem yang mampan, dengan kerjasama berterusan daripada semua pihak termasuk persatuan veteran. 

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan dana kepada beberapa persatuan, antaranya Persatuan Veteran ATM (PVATM) sebanyak RM25,000, Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja (PVRSD) RM15,000 dan Malayan Armed Forces Chinese Veteran Association RM10,000.-BH Online