Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peralihan kepada ekonomi produktiviti tinggi menjadi antara hala tuju utama kerajaan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menghadapi peningkatan kos dan cabaran global, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama, sebaliknya perlu menangani cabaran itu melalui peningkatan produktiviti menerusi automasi, digitalisasi dan inovasi.

Ahmad Zahid berkata, bagi menjayakan usaha tersebut industri juga dituntut untuk bersama-sama dengan kerajaan melakukan perubahan.

“Kita tidak boleh selama-lamanya melawan kos yang meningkat. Kita mesti mengatasi kos dengan produktiviti melalui automasi, digitalisasi dan inovasi.

“Syarikat yang berjaya pada masa depan bukan yang paling besar tetapi yang paling efisien dan tangkas kerana dalam dunia hari ini pendekatan yang lama tidak akan dapat menangani cabaran baharu dan yang lebih penting, kita mesti melakukannya bersama-sama,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya pada Majlis Minum Petang Apresiasi Kerajaan Bersama Komuniti Perniagaan yang turut dihadiri Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh ekosistem tenaga kerja berkemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pilihan strategik negara.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, lebih separuh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan TVET, yang menyaksikan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus.

Namun begitu, katanya, usaha itu tidak boleh dipikul oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif industri sebagai rakan pembina bakat.

“Kurikulum mesti dibentuk bersama-sama industri dan latihan mesti membawa kepada pekerjaan sebenar…teknologi terkini mesti menjadi asas pembelajaran dan industri mesti memilih pelatih TVET negara sebagai pilihan utama,” kata Ahmad Zahid .

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan dan kepelbagaian rantaian bekalan dalam menghadapi ketidaktentuan global dan bukan hanya menumpukan kepada satu sumber sahaja yang boleh memberi risiko hingga menjejaskan keseluruhan sistem.

“Maka kita mesti mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh jaringan serantau, menggunakan data untuk amaran awal dan membina sistem yang lebih anjal,” katanya.– BERNAMA