Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa inisiatif tambahan sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini bagi menangani ketidaktentuan pasaran buruh susulan tekanan ekonomi global dan krisis geopolitik semasa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata langkah proaktif itu dibuat susulan trend kehilangan pekerjaan yang membimbangkan apabila 5,900 rakyat Malaysia dilaporkan diberhentikan kerja pada Mac lalu, dengan Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan jumlah tertinggi.

Mengulas lanjut, katanya antara inisiatif bakal diumumkan termasuk penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja, selain memudahkan akses kepada program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

“Inisiatif sokongan krisis yang komprehensif akan diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja nanti.

“Usaha ini penting untuk mempercepatkan proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan yang lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan tapak Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) melaporkan Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi pada Mac lalu berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Mengulas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam platform MYFutureJobs, Ramanan berkata KESUMA melancarkan hab imersif pertama di Kuala Lumpur bagi membantu pencari kerja mendapatkan padanan pekerjaan yang lebih tepat dan bersesuaian.

Katanya, teknologi AI itu mampu membangunkan portfolio pencari kerja secara automatik selain memadankan mereka dengan pekerjaan yang menawarkan gaji terbaik mengikut kemahiran dan pengalaman dimiliki.

“AI ini sudah bermula dan beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur. Ia sangat mudah digunakan dan tidak memerlukan kemahiran teknologi yang tinggi.

“Dengan menggunakan AI, sistem itu akan membantu membina portfolio pengguna dan memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai di bawah portal MYFutureJobs,” katanya.-BH Online