KUALA LUMPUR: Majikan swasta disaran menyambut syor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan aturan kerja fleksibel seperti sektor awam, termasuk bekerja dari rumah (BDR).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata ketika ini sudah banyak syarikat gergasi dan multinasional, termasuk bank yang melaksanakan BDR.
“Oleh itu, aturan kerja fleksibel dan amalan BDR wajar dilaksanakan oleh syarikat swasta sekiranya boleh. Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan sendiri sedang cuba untuk membuat penjimatan sebaik mungkin,” katanya.
Ditemui pemberita selepas Pelancaran Vetri MADANI di Brickfields, di sini semalam, Ramanan berkata, beliau juga bersetuju dengan langkah mengehadkan pergerakan anggota Jemaah Menteri dan kementerian yang sedang dipertimbangkan kerajaan.
“Ia sudah dimaklumkan kira-kira sebulan lalu. Saya bersetuju dengan langkah yang sedang dipertimbangkan itu, malah ia bukanlah sesuatu yang baharu.
“Perkara itu sudah dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika mesyuarat Kabinet. Ia bukan saja untuk anggota pentadbiran, tetapi juga ketua agensi dan ketua jabatan,” katanya.
Mengenai Vetri MADANI, Ramanan berkata, ia program latihan disediakan khas untuk masyarakat India dengan RM10 juta diperuntukkan untuk melatih 2,000 peserta.
Katanya, latihan membabitkan bidang kecerdasan buatan (AI), kemahiran mesin, kemahiran baharu dan penambahbaikan serta pelbagai latihan lain.
“Latihan ini akan dikendalikan secara fizikal dan juga hibrid. Jadi tidak menyusahkan bagi mereka yang jauh untuk dapatkan latihan berkenaan.
“Penyertaan untuk program ini terhad, oleh itu mereka yang berminat boleh buat permohonan melalui laman web HRD Corp iaitu www.hrdcorp.gov.my,” katanya.
Beliau menyarankan masyarakat India mengambil peluang itu untuk mendapatkan latihan dan menaikkan taraf hidup mereka.
“Selepas habis latihan nanti, kita akan gabungkan dengan MyFutureJobs. MyFutureJobs ini sub-imersif yang pertama di Malaysia di mana AI digunakan untuk padanan kerja.
“Jadi mereka akan diberikan tempat dan peluang pekerjaan di tempat yang paling bagus,” katanya.-BH Online
