Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan (OPA) di Johor semalam menunjukkan perkembangan positif apabila negeri itu mencatatkan jumlah hujan antara 5 milimeter (mm) hingga 40 mm hasil daripada intervensi itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata operasi dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang terjejas akibat cuaca kering.

“Analisis radar cuaca menunjukkan hujan mula dikesan seawal 5 petang.

“Walaupun Empangan Machap tidak dapat dilakukan operasi kerana ketiadaan awan yang sesuai, secara keseluruhannya OPA kali ini dikategorikan sebagai berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Arthur berkata menerusi operasi siri ketiga bagi tahun ini, pesawat C130-Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Subang pada 3.10 petang telah menyasarkan kawasan Empangan Seluyut, Gugusan Lok Heng, Upper Layang, Lower Layang, Pulai, dan Lebam dengan teknik semburan larutan garam ke dalam awan kumulus pada ketinggian 5,000 hingga 7,000 kaki.

Beliau berkata taburan hujan signifikan direkodkan di Bukit Layang-layang (28.9 mm), Johor Bahru (18.8 mm), Felda Bukit Batu (5.1 mm) dan Labis (3.4 mm).

“Terima kasih kepada pasukan METMalaysia dan TUDM atas komitmen dalam menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan kritikal demi kesejahteraan rakyat. Kita akan terus memantau keadaan atmosfera untuk tindakan selanjutnya jika perlu,” katanya.– BERNAMA