Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab konsert serantau apabila lebih 450 acara dianjurkan tahun lalu, sekali gus menjana hampir RM1.72 bilion dan merancakkan sektor pelancongan negara.

Perkara itu dikongsikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan potensi besar sektor hiburan langsung sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, selain merancakkan aktiviti pelancongan dan industri sokongan lain.

“Secara keseluruhan, industri budaya dan kreatif Malaysia menyumbang sekitar 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan lebih RM130 bilion.

“Tahun ini, kita sasarkan pencapaian lebih tinggi.

“Inisiatif seperti Concert and Event in Malaysia Incentive (CEMI) diwujudkan untuk membawa artis antarabangsa, menarik pelancong serta mengembangkan keseluruhan ekosistem industri,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kementerian akan mengemukakan cadangan kepada kabinet bagi menyalurkan bantuan tambahan kepada penganjur acara susulan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga 2027.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara berskala besar di rantau ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan ekonomi kreatif kini menjadi antara nadi penting negara, selain berpotensi besar dipacu generasi muda.

“Kepada anak muda Malaysia yang sedang membina kerjaya dalam bidang ini, kerajaan percaya dengan bakat dan kebolehan anda.

“Ekonomi kreatif bukan lagi sektor pinggiran, sebaliknya menjadi nadi penting dalam membentuk masa depan negara,” katanya.-BH Online