Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Ke-7, hari ini, meluluskan tiga kertas pertimbangan yang memfokus penyertaan belia dalam hal ehwal demokrasi dan literasi politik, pemerkasaan peranan golongan itu sebagai ejen perubahan, serta pengukuhan data.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi JKPB, berkata ia merangkumi Program Kuasa Orang Muda (KOM) oleh IMPACT bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan meningkatkan kepedulian belia terhadap politik serta demokrasi.

“Sehubungan itu, Jelajah KOM akan dilaksanakan dengan pembabitan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia melalui penyertaan pelajar serta penyediaan kemudahan di institusi pendidikan dan latihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut diluluskan ialah Program Generasi Sejahtera Malaysia (MyGENTERA) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Kementerian Pengangkutan, bagi memperkasakan belia sebagai pemimpin dan ejen perubahan dalam keselamatan jalan raya.

MyGENTERA akan dilaksanakan sebagai platform memperkasa belia dalam bidang keselamatan jalan raya dengan sokongan dan kerjasama semua kementerian melalui integrasi program, sumber serta platform sedia ada bagi memperluaskan impaknya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, pengumpulan data profil belia Not in Employment, Education or Training(NEET) dan inisiatif pembangunan bersepadu oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), KBS, juga akan dilaksana bertujuan memperkukuhkan ekosistem pembangunan belia yang inklusif.

“Pelaksanaan NEET secara bersepadu pada peringkat nasional akan dilaksanakan dengan pembabitan kementerian, jabatan dan agensi dalam pengumpulan serta pengemaskinian data, dan peluasan peluang pekerjaan, pendidikan serta latihan kepada belia NEET,” katanya.

Mesyuarat JKPB turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh pembentukan jati diri belia melalui pembabitan aktif dalam inisiatif Kalendar Mega Rakan Muda dengan pendekatan ‘Satu Bulan, Satu Gaya Hidup’.

Antara tumpuan program yang akan dilaksanakan ialah Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Aktif, Rakan Litar dan Rakan Prihatin.

“Inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelantikan 90 Teraju Muda di setiap Parlimen, yang berperanan sebagai pemudah cara pelaksanaan inisiatif kerajaan pada peringkat akar umbi.

“Saya yakin kita mampu memperkukuh agenda pembangunan belia secara menyeluruh, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berintegriti, berketerampilan serta mampu menyumbang secara signifikan kepada kemajuan dan kesejahteraan negara,” katanya.-BH Online