Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengkaji semula cadangan pelaksanaan cukai karbon dengan mengambil kira krisis bekalan tenaga dan geopolitik ketika ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, cukai karbon itu yang pada awalnya dirancang diperkenalkan tahun ini dan disasarkan kepada industri terpilih seperti keluli, simen dan pembinaan, mungkin ditangguhkan bagi mengelakkan beban tambahan kepada industri dan pengguna di tengah-tengah ketidakpastian global ketika ini.

“Kita sebagai kerajaan perlu peka dengan realiti semasa dan juga mengambil kira situasi ekonomi dan geopolitik. Kita tidak mahu membebankan industri atau rakyat biasa atau pengguna pada masa ini.

“Jadi kita mungkin akan mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026 di Hotel M World, di sini, hari ini.

Arthur berkata, walaupun Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertanggungjawab menyediakan rangka kerja bagi perdagangan karbon, cukai karbon sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Justeru, katanya, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan cukai itu memerlukan penyelarasan dengan Kementerian Kewangan.

“Tetapi pada masa yang sama, kami berharap agar industri dan juga masyarakat, tidak menganggap ini sebagai alasan kami untuk memperlahankan agenda perubahan iklim negara,” katanya.

Beliau berkata, dengan keadaan harga bahan api dan tenaga yang tidak menentu mengukuhkan lagi keperluan bagi Malaysia untuk meneruskan peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau dan penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas.

“Jadi sama ada dalam krisis atau tidak, janganlah kita terlalu bergantung kepada bahan api fosil. Walaupun dalam tempoh sukar ini, kita masih perlu melakukan peralihan. Jadi ia adalah soal masa, bukannya pelaksanaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan cukai karbon bagi industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026 sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memperkukuh tindakan iklim dan menyokong pertumbuhan ekonomi rendah karbon bagi mencapai sasaran kemampanan negara.

Sementara itu, Arthur berkata pelancaran Dasar Pasaran Karbon Negara (NCMP) bersempena dengan persidangan tersebut merupakan satu langkah utama dalam mewujudkan rangka kerja kebangsaan untuk dagangan pelepasan karbon.

Selain itu, katanya, ia juga menyokong komitmen iklim Malaysia yang lebih teguh terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Perjanjian Paris. 

“Dasar itu akan menyediakan rangka kerja bagi memastikan kredit karbon boleh diukur, disahkan dan disokong oleh integriti data sebelum undang-undang pelengkap, termasuk cadangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan undang-undang berkaitan lain diperkenalkan untuk menyelia ekosistem pasaran karbon.

“Rangka kerja itu juga akan membuka laluan bagi pendaftaran karbon kebangsaan untuk memudahkan pengukuran, penetapan harga dan dagangan karbon antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai undang-undang dan dasar berkaitan karbon yang berasingan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan persekutuan akan menumpukan pada penyelarasan bagi memastikan rangka kerja peringkat negeri selaras dengan dasar negara dan obligasi pelaporan antarabangsa.

Arthur berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk membincangkan penyelarasan dengan kerajaan Sarawak, manakala maklum balas daripada kedua-dua negeri itu adalah positif.

“Perlu ada penyelarasan kerana kerajaan pusat perlu melaporkan komitmen antarabangsa kita terhadap UNFCCC dan Perjanjian Paris,” katanya.-BERNAMA