Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DUNGUN: MARA akan mempertimbangkan pelaksanaan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dan pendidikan bagi mengurangkan beban dihadapi usahawan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan menyedari kesan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan kenaikan kos tenaga.

Beliau berkata, agensi itu melihat cabaran dihadapi usahawan termasuk penyewa premis, pelajar dan warga pendidik serta warga institusi pendidik yang terkesan secara menyeluruh.

“Kita sedang meneliti beberapa langkah sokongan yang bersesuaian dengan situasi semasa antaranya memperluas kemudahan pengurangan kadar sewaan premis kepada usahawan yang terkesan serta menilai pelaksanaan penjadualan semula bayaran pembiayaan bagi memberi ruang kepada mereka menstabilkan kedudukan kewangan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun.

Yang turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, usahawan dan penyewa premis yang terkesan diminta menghubungi MARA untuk penyelarasan.

Sementara itu, mengulas insiden kebakaran di Sandakan, Sabah, Ahmad Zahid berkata, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat melakukan penyelarasan bantuan kepada mangsa.

Katanya, NADMA dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan sedang giat melakukan pendaftaran mangsa.

“Setakat ini lebih 900 ketua isi rumah (KIR) dikenal pasti terjejas dan proses pendaftaran mangsa masih giat dilakukan,” katanya.-BH Online