KOTA KINABALU: Sabah kini diberi penekanan strategik sebagai antara wilayah utama dalam memperkukuh agenda ekonomi Bumiputera selaras komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata Sabah antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dan berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.
Katanya, ia terbukti apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada RM84.30 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan momentum positif ekonomi negeri.
Menurutnya, pertumbuhan ini didorong industri pelancongan yang mencatat pertumbuhan 4.2 peratus dengan nilai RM13.7 bilion pada 2024 dan menyumbang sekitar 12 peratus kepada ekonomi Sabah.
“Dalam masa sama, Sabah kini meneroka potensi baharu melalui pembangunan Ekonomi Biru yang merangkumi sektor seperti perikanan bernilai tinggi, tenaga boleh baharu marin, akualtur serta pembangunan sumber marin secara mampan.
“Perkembangan ini menunjukkan Sabah bukan sahaja mempunyai asas ekonomi kukuh tetapi juga berada pada kedudukan strategik untuk berkembang dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
“Sehubungan itu, pelaksanaan PuTERA35 memainkan peranan penting dalam mempercepat peralihan ini melalui pendekatan lebih berfokus dan tersasar,” katanya
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah sempena perasmian Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata PuTERA35 yang dipacu tiga teras utama memberi fokus khusus kepada pengukuhan pembangunan Sabah dan Sarawak dengan tumpuan memperluas penyertaan dalam sektor bernilai tinggi.
“Bagi Sabah, pendekatan ini selari keperluan memperkukuh sektor sedia ada seperti pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan di samping membuang ruang kepada sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang berpotensi tinggi.
“Tumpuan kini bukan lagi sekadar memperluas penyertaan tetapi mempercepat penskalaan perniagaan, peningkatan produktiviti serta penglibatan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
“Melalui pendekatan ini, syarikat Bumiputera di Sabah berpeluang bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.-BH Online
