PUTRAJAYA: Kerajaan kekal komited memberi keutamaan terhadap isu bekalan dalam negara bagi memastikan ia tidak terjejas susulan kesan konflik di Asia Barat yang masih berlarutan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun konflik di Asia Barat kini memasuki tempoh gencatan senjata sementara, kesan terhadap infrastruktur tenaga di rantau itu masih memberi impak berpanjangan dan pemulihannya mungkin mengambil masa hingga bertahun.
“Sudah pasti keputusan pihak-pihak yang dalam konflik, untuk melaksanakan gencatan senjata sementara dalam tempoh dua minggu supaya perancangan antara 10-point plan Iran dan 15-point plan Amerika Syarikat dapat diteliti dan dimuktamadkan itu, kita terima dengan baik.
“Sudah pasti yang paling penting adalah bagi rakyat Malaysia memahami bahawa akhirnya, walaupun pada waktu ini perdamaian sementara telah dikecapi, namun kesan konflik tersebut terus kita rasai akibat daripada kerosakan kepada ekosistem dan prasarana tenaga di negara-negara Teluk,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, walaupun perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada pasaran global, kerajaan tidak akan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ terhadap implikasi jangka sederhana serta panjang kepada rantaian bekalan tenaga dunia.
Katanya, kerosakan terhadap tangki penyimpanan, saluran paip dan fasiliti pemprosesan minyak mentah di negara-negara Teluk memerlukan masa untuk dipulihkan dan berpotensi memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi serantau termasuk Malaysia.
“Pergerakan kapal di selat dan juga di lautan terbuka mengambil masa yang agak lama. Ia bukan laju, kenderaan yang agak besar yang mengangkut bahan bakar yang terlalu mudah terbakar, maka akan makan masa. Maka, bagi rakyat Malaysia, yang paling penting kita dapat atasi isu-isu bekalan dan ini masih menjadi keutamaan Perdana Menteri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan di Selat Hormuz turut memberi kesan kepada pergerakan bekalan global.
“Selat Hormuz sebelum ini menyaksikan lebih 200 kapal keluar masuk setiap hari dan ketika ini terdapat kira-kira 2,000 kapal yang masih terperangkap,” katanya.
Fahmi menjelaskan, Jemaah Menteri serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dimaklumkan mengenai situasi semasa dan langkah pemantauan sedang dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, kerajaan komited memastikan kestabilan bekalan kekal terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan global, sejajar dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.-Astro Awani
