Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti kemungkinan memperluaskan

mekanisme penggunaan MyKad dalam sistem subsidi bersasar kepada diesel, susulan kejayaan pelaksanaan program BUDI95 bagi petrol RON95.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkemas penyampaian subsidi serta mengurangkan ketirisan, namun memerlukan penelitian rapi dari segi logistik, penggunaan dan kesiapsiagaan sistem di seluruh negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penggunaan MyKad di bawah BUDI95 dilihat lebih kemas dan risiko ketirisan dapat dikurangkan, manakala matlamat penjimatan dicapai tanpa mengubah corak pembelian rakyat secara drastik.

Beliau berkata, kejayaan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kawasan bandar mahupun pedalaman memberi indikasi positif pengagihan diesel berasaskan MyKad tidak mustahil dilaksanakan.

Justeru, katanya, kerajaan menilai kebolehlaksanaannya, namun menekankan peralihan kepada pendekatan itu menuntut kajian terperinci memandangkan corak penggunaan diesel berbeza mengikut kawasan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Penggunaan meluas Di Sabah dan Sarawak, katanya, diesel digunakan secara meluas bukan saja untuk kenderaan, malah bagi penjanaan elektrik di kawasan pedalaman dan rumah panjang.

“Ada juga kawasan yang tidak mempunyai akses kepada stesen minyak konvensional, sebaliknya menggunakan kaedah pengagihan alternatif.

“Kalau kita nak buat (penggunaan MyKad) ke atas diesel, kita kena memastikan bekalan tidak terganggu. Kita kena ambil masa untuk memastikan tidak ada apa-apa yang kita tidak faham yang mungkin menjadi halangan.

“Itu salah satu aspek yang Kementerian Kewangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) lihat sekarang,” katanya kepada BH dalam wawancara eksklusif, di sini.

Beliau mengulas kemungkinan kerajaan memperluaskan penggunaan MyKad bagi agihan subsidi bersasar untuk diesel di seluruh negara.

Pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan sebelum ini dimulakan dengan diesel pada Jun 2024 sebelum diperluaskan kepada RON95 menerusi inisiatif BUDI95 pada Oktober 2025.

Pelaksanaan bagi RON95 mengambil masa panjang berikutan skala pengguna yang jauh lebih besar, membabitkan hampir 17 juta rakyat.

Amir Hamzah berkata, setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi

ruang kepada kerajaan untuk belajar dan menambah baik pendekatan.

Katanya, sistem bagi RON95 lebih lengkap memandangkan jumlah pengguna yang tinggi memerlukan mekanisme tersusun dan mantap.

Walaupun pada peringkat awal pelaksanaan BUDI95 menerima pelbagai reaksi, termasuk kebimbangan orang ramai mengenai kesesakan di stesen minyak, beliau berkata, sistem itu kini semakin stabil dan diterima baik.

“Keutamaan kita adalah memastikan rakyat tidak terbeban, urusan pembelian berjalan lancar dan dalam masa sama objektif penjimatan serta pengurangan ketirisan tercapai,” katanya.-BH Online