KUALA LUMPUR, 7 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan mendiang Tun Dr Ling Liong Sik sebagai tokoh penting pembangunan sektor pengangkutan.
Beliau telah meninggalkan legasi besar dan signifikan kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan menerusi projek infrastruktur utama negara.
“Dr Ling merupakan mantan menteri pengangkutan yang paling lama berkhidmat selama 17 tahun. Sudah tentunya dalam tempoh yang panjang itu, beliau banyak menyumbang kepada negara.
“Banyak infrastruktur pengangkutan yang kita nikmati hari ini dimulakan di bawah kepimpinan beliau termasuklah Westports, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga projek landasan berkembar kereta api,” kata Setiausaha Agung DAP itu kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Dr Ling.
Turut hadir dalam sesi penghormatan terakhir itu termasuk Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, meninggal dunia pada usia 82 tahun, sabtu lalu.
Mendiang meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003.
Jasad Mendiang Tun Dr Ling akan dibawa ke Xiao En Crematorium di Nilai, Negeri Sembilan untuk disemadikan.-Berita RTM
