Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dijangka tidak mengalami krisis bekalan minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, meskipun kemungkinan berdepan kenaikan harga bahan api itu.

Perdana Menteri berkata, ia antara lain disumbang rekod cemerlang PETRONAS sebagai pengimport bersih minyak dan hubungan baik syarikat negara itu dengan negara pengeluar minyak.

“Kita juga adalah pengimport bersih kerana produk kita adalah jenama premium yang harganya sedikit lebih tinggi, namun kita masih mengimport.

“Pujian harus diberikan kepada PETRONAS kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta hubungan yang baik dengan negara pengeluar minyak.

“Justeru, kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat sedikit gangguan harga tetapi bagi beberapa bulan akan datang, bekalan adalah agak terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan berdepan masalah bekalan gas asli cecair (LNG) disebabkan pengeluaran besar bahan api itu oleh negara, selain import dari Australia yang sudah lama terjalin dan kejayaan perolehan di Kanada.

Berkuatkuasa 1 April lalu, kerajaan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.-BH Online