Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASEK GELUGOR: Malaysia diiktiraf antara peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan diyakini di hampir 50 negara, selain berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Halal Park di Kubang Menerong, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, potensi Malaysia sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang telah dikecapi masa kini.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini, industri halal bukan sahaja membuka ruang pertumbuhan ekonomi domestik, malah menjadi pintu masuk Malaysia ke pasaran global yang lebih luas, merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah.

“Inilah peluang strategik yang mesti kita rebut dan PERDA Halal Park antara langkah konkrit ke arah itu.

“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada PERDA atas usaha yang berterusan, berani dan berpandangan jauh dalam memperkukuh ekosistem pembangunan ekonomi Bumiputera,” katanya.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja tepat pada masanya, tetapi selari aspirasi melahirkan masyarakat luar bandar yang mandiri, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global.

“Malaysia sememangnya diiktiraf sebagai antara pelopor industri halal global dengan pengalaman melangkaui empat dekad.

“Kekuatan kita bukan sekadar pada label, tetapi pada integriti sistem pensijilan halal yang diyakini dan diiktiraf di seluruh dunia.

“Namun, dalam kita melangkah ke hadapan, kita perlu jujur melihat realiti semasa yang permintaan terhadap produk halal global terus meningkat dengan begitu pesat, tetapi penawaramnya masih jauh ketinggalan.

“Dengan jurang dianggarkan mencecah sekitar 80 peratus, ia satu peluang besar untuk Malaysia, khususnya usahawan Bumiputera untuk mengambil peranan lebih besar dalam rantaian bekalan halal global dan memperkukuh kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pasaran halal global diunjurkan mencecah sekitar AS$5 trilion menjelang 2030, manakala pasaran domestik dianggarkan AS$113.3 bilion. 

“Angka ini jelas menunjukkan industri halal berkembang menjadi satu sektor ekonomi utama yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan negara.

“Pencapaian kita hari ini juga menunjukkan asas yang kukuh yang mana pada 2024, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM61.79 bilion, dengan produk tempatan berjaya menembusi pasaran utama seperti China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia.

“Sektor makanan dan minuman kekal penyumbang terbesar dengan nilai melebihi RM34.03 bilion, diikuti sektor ramuan halal yang semakin berkembang. 

“Ini membuktikan produk halal Malaysia bukan sahaja diyakini, tetapi mempunyai nilai komersial tinggi di pasaran global,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), negara menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri halal kepada 11 peratus dengan mencapai nilai eksport RM70 bilion dan mewujudkan sekitar 700,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.-BH Online