Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 7 April – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti semula prosedur operasi standard(SOP) bagi penganjuran aktiviti luar yang melibatkan semua institusi di bawah kelolaannya bagi memastikan aspek keselamatan dapat diperkukuh.

Langkah itu, susulan insiden kemalangan yang mengorbankan dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis semasa mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus di Pantai Merdeka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku.

“Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh sedang berjalan. Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan dan tiada sesiapa yang akan dilindungi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sehingga siasatan selesai.

Semalam, Fadhlina turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia YB Fadhlina Sidek turut mengadakan pertemuan dengan keluarga terdekat kedua-dua mending serta menyampaikan takziah”, menurut kenyataan itu.-Berita RTM