Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti pelaksanaan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri susulan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kini sedang menjalankan kajian terperinci sebelum satu taklimat khas diadakan bersama ketua-ketua jabatan dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan itu.

“Kerajaan negeri telah menerima pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara supaya melihat potensi untuk mengarahkan kakitangan yang relevan bekerja dari rumah.

“SUK sedang membuat kajian dan akan memanggil ketua jabatan untuk memaklumkan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Penyerahan Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah dan SUK Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. 

Saarani berkata pelaksanaan BDR kali ini berbeza dengan pendekatan ketika pandemik COVID-19 yang bertujuan mengurangkan pergerakan dan interaksi fizikal, sebaliknya mempunyai objektif lain yang perlu difahami oleh penjawat awam.

Saarani ketika mengulas mengenai pakej rangsangan ekonomi berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan keperluan semasa sebelum merangka sebarang pakej khusus bagi membantu rakyat.

Beliau berkata sebarang pakej rangsangan akan dibincangkan dalam mesyuarat khas kerajaan negeri, dengan fokus membantu golongan petani dan usahawan agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Baru-baru ini kerajaan negeri telah menghadiri taklimat oleh Kerajaan Persekutuan yang antara lain menyentuh usaha memperkukuh sekuriti makanan melalui penanaman tanaman jangka pendek,” katanya.– BERNAMA