PUTRAJAYA: Usaha mengurangkan beban perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat menjadi tumpuan kerajaan dalam menghadapi krisis tenaga global yang memberi kesan terhadap harga barangan serta kos sara hidup.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ke-17 yang dipengerusikannya, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, khususnya dengan menjadikan konflik Asia Barat sebagai alasan.
“Kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Memahami tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat, kerajaan sentiasa peka dan memastikan setiap langkah diambil bertujuan terus membela kehidupan rakyat tanpa membebankan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai langkah segera dan responsif, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat memutuskan supaya mesyuarat jawatankuasa eksekutif itu akan bersidang secara berkala berdasarkan keperluan semasa sepanjang tempoh krisis tenaga.
Beliau menjelaskan, ia bagi memastikan setiap isu yang memberi kesan kepada rakyat, dapat ditangani dengan pantas dan berkesan tanpa berlengah.
“Dalam usaha berterusan membantu rakyat, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi 2026 bagi bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan.
“Antara inisiatif utama ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Malah dengan mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat, beliau berkata, jumlah peruntukan subsidi kepada rakyat dijangka bertambah.
“Lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, lebih separuh menerima sekurang-kurang dua bentuk bantuan, manakala hampir satu pertiga terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah.
“Ini membuktikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam, memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan, serta memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih jelas, telus dan mudah difahami.
“Rakyat berhak memperoleh maklumat tepat supaya dapat membuat keputusan terbaik dalam kehidupan harian. Saya ingin menegaskan kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
“Segala dasar serta langkah dilaksanakan adalah demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.-BH Online
