KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bangga dengan pencapaian pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keputusan dengan Gred Purata (GPM) 2.067 dan 100 peratus calon layak menerima sijil itu mengukuhkan lagi kedudukan MRSM sebagai penanda aras kecemerlangan.
Katanya, selain itu, lima MRSM juga berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi sekolah berasrama penuh dan sekolah harian lain di seluruh negara.
“Alhamdulilah, ini menjadi bukti jelas MRSM kekal sebagai institusi peneraju kecemerlangan pendidikan negara, terutama dalam melahirkan bakat luar bandar yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat nasional, malah berpotensi menembusi pentas global.
“Sebagai individu menggalas amanah terhadap MARA, saya amat berbangga dengan pencapaian 7,636 calon SPM daripada 57 MRSM yang terus mencipta kecemerlangan, termasuk 80 calon MRSM yang berjaya memperoleh semua A+ dalam peperiksaan SPM 2025.
“Kita turut menyaksikan pencapaian amat membanggakan apabila empat pelajar Orang Asli memperoleh keputusan 9A, manakala 114 pelajar mencatat keputusan cemerlang 5A ke atas, meningkat daripada 87 pelajar, tahun lalu.
“Ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli bersama pelbagai agensi memperkasa pendidikan komuniti berkenaan dengan memastikan setiap pelajar mendapat perhatian serta peluang saksama, tidak kira di mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan SPM 2025 yang diumumkan hari ini merekodkan pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun, membuktikan daya tahan tinggi calon selaku kohort pertama tidak menduduki sebarang peperiksaan utama di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata keputusan memberangsangkan itu menunjukkan pelajar masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga.
Calon SPM 2025 juga antara kohort berdepan pelbagai ujian getir sebelum ini, antaranya perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah ketika era COVID-19.
Ahmad Zahid berkata, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan, hasil pelbagai inisiatif berterusan kerajaan, terutama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, KKDW akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif supaya setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik.
“Apa jua keputusan diperoleh, ia bukan penamat tetapi permulaan kepada perjalanan masa depan yang lebih besar.
“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai laluan pendidikan, sama ada melalui Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, mahupun melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Melalui institusi seperti UniKL, Institut Kemahiran MARA, GIATMARA dan lain-lain, pelajar kini mempunyai ruang lebih luas untuk meneroka potensi diri melalui ekosistem UP_TVET yang lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Ahmad Zahid berkata TVET ketika ini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi arus perdana baharu dalam membina tenaga kerja mahir, berpendapatan tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
“Seramai 53.9 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET, tahun lalu. Tahniah sekali lagi kepada semua calon SPM 2025.
“Gunakan peluang terbentang untuk memilih laluan selari minat dan potensi anda. Saya yakin, andalah generasi pelakar perubahan yang akan membina Malaysia lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya.-BH Online
