Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GARA-GARA ‘hear say’ atau dengar cakap, Menteri Pendidikan (KPM) Fadhlina Sidek menegur Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan tidak mahu ada Ahli Parlimen yang ‘merengek-rengek’ memberitahu mengenai berita yang belum pasti akan kesahihannya yang lazimnya ianya tidak benar sama sekali.

“Saya menegaskan KPM tidak akan sekali-kali menghentikan tumpuan serta rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di semua negeri di Malaysia. Ada kelewatan tetapi kita tidak pernah hentikan sebarang pembangunan.

“Jadi kalau nak jadi ahli yang berhormat, bertanggungjawab, masuk Dewan, kena pastikan fakta betul. Jangan masuk Dewan merengek-rengek bagitahu ‘hear say’, saya dengar itu saya dengar ini, tak betul.

“Ini adalah Dewan yang sangat penting. (KPM) akan memastikan semua projek yang kita laksanakan ada jaminan untuk disiapkan. Jadi tidak perlu menggunakan Dewan ini dengan merengek-rengek tentang ‘hear say’. Ini tidak boleh berlaku dalam Dewan yang mulia ini,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian dipercayai merujuk kepada Syed Saddiq yang sebelum ini mendakwa ada ura-ura terdapat usaha untuk menghentikan pembinaan dewan serba guna di empat sekolah di kawasan Muar berikutan keputusannya menarik diri daripada gabungan kerajaan.

“Saya dengar kerana saya memilih pihak pembangkang, walau perkara ini dah dilulus berbulan-bulan yang lepas, ada ura-ura bahawa mereka ingin menyekat dan memberhentikan pembinaan dewan baharu ini,” kata Syed Saddiq pada 14 September lalu.

Fadhlina turut menjelaskan, KPM tidak pernah sesekali menghentikan rancangan pembinaan dan pembangunan infrastruktur pendidikan di seluruh negara meskipun terdapat sedikit kelewatan.

Sementara itu Tan Kar Hing (PH-Gopeng) ketika mencelah, menzahirkan kebimbangan dengan ‘permainan’ pembangkang terutamanya Muar, yang telah mula mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan yang kononnya ‘memilih bulu’ serta tidak menjaga kawasan pembangkang. -Media Perpaduan

Kredit gambar: Parti Keadilan Rakyat