Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada waktu terdekat dijadual mendengar pandangan serta maklum balas daripada pakar perundangan dan perlembagaan termasuk bekas Peguam Negara, sebelum proses melengkapkan penyata RUU itu dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penyata Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dijadual dimuktamadkan pada 18 Mei ini.

Beliau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dijemput mengemukakan pandangan dan maklum balas mengenai RUU berkenaan secara bertulis, selain mereka akan diundang secara peribadi untuk memberi syor, bantahan, kritikan dan opsyen lain, jika diperlukan.

“JKPK dijadualkan mendengar pandangan dan maklum balas daripada empat pakar akademik berkaitan perundangan serta perlembagaan, sebelum proses melengkapkan penyata RUU itu.

“Kita cuba buat sesi libat urus bersama NGO sebanyak mungkin dan harapan daripada perbincangan tadi, nampaknya semua Ahli Parlimen bersetuju yang pemisahan ini diperlukan.

“Kita juga tidak menolak memanggil bekas Peguam Negara untuk mendengar pandangan dan maklum balas mereka mengenai pindaan ini, namun tarikh khusus bagi tujuan itu belum diputuskan lagi.

“Kita perlu meneliti beberapa perkara supaya dapat mewujudkan persetujuan bersama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pindaan ini boleh dibawa ke Dewan Rakyat pada Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama JKPK mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Bil 1/2026 di Parlimen hari ini.

BH sebelum ini, melaporkan RUU itu dirujuk ke JKPK Dewan Rakyat bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti cadangan akta berkenaan, selepas bacaan kali kedua, pada 3 Mac lalu.

Jawatankuasa itu akan meneliti RUU berkenaan, termasuk mekanisme akauntabiliti Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan difikirkan perlu.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentangkan pada 23 Februari lalu, dengan bacaan kali kedua tidak diteruskan ke sesi perbahasan.

Memperincikan perihal dibangkitkan pada mesyuarat itu, Azalina berkata, terdapat pelbagai perkara di bawah lima isu utama dibincangkan, termasuk syarat, kelayakan dan larangan serta mekanisme pelantikan.

Selain itu, katanya, tempoh jawatan dan had umur, mekanisme penamatan perjawatan serta akauntabiliti institusi.

Beliau berkata, semua perkara itu perlu dibincangkan wakil parti, selain mengakui terdapat perkembangan memberangsangkan apabila kedua-dua blok dilihat sehaluan selepas menghadiri mesyuarat pertama JKPK itu.

“Paling utama ialah keperluan melakukan pemisahan ini dan jika boleh ia mesti dilaksanakan pada tahun ini. Saya percaya semua yang menghadiri mesyuarat memahami perkara itu.

“Saya juga berpendapat kebanyakan parti politik juga faham cabaran dihadapi berkaitan jawatan tertentu, selain tidak menafikan ketika ini wujud defisit kepercayaan yang besar berhubung jawatan tertentu. 

“Saya tidak bercakap mengenai kedudukan politik, sebaliknya beberapa jawatan tertentu seperti diketahui, kebimbangan Peguam Negara ialah Ahli Parlimen dan orang ramai mempersoalkan isu akauntabiliti,” katanya.

INFO

Mesyuarat kedua – 9 April

Mesyuarat ketiga – 16 April

Mesyuarat keempat – 27 April

Mesyuarat kelima – 4 Mei

Mesyuarat keenam – 18 Mei

-BH Online