Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AMPANG: Orang ramai dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kerana bekalan barangan keperluan di negara ini mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pemantauan awal sudah dibuat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga selepas Aidilfitri.

“Langkah ini termasuk memastikan rantaian bekalan barangan utama sentiasa stabil walaupun terdapat kebimbangan berkaitan faktor cuaca dan perkembangan konflik global.

“Semalam dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kita dimaklumkan ketika ini mempunyai lebihan bekalan barang-barang utama.

“Namun sebagai langkah kontigensi, selain KPKM, kita juga bekerjsama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menghadapi kebimbangan perang berlarutan termasuk mencari sumber alternatif sekiranya negara sumber tidak boleh atau terpaksa menghentikan eksportnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Mengenai peningkatan harga sayur akibat faktor cuaca, Armizan berkata, beberapa jenis sayur utama sudah dimasukkan dalam senarai SHMMP Aidilfitri.

“Kita tahu faktor cuaca antara yang memberi implikasi utama kepada bekalan sayur. Namun alhamdulillah, jenis sayur-sayuran utama itu kita masukkan dalam SHMMP ini,” katanya.

Menjawab kebimbangan konflik di Asia Barat menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan di peringkat global, beliau berkata, kerajaan sudah mengarahkan setiap kementerian menyediakan pemantauan serta pelan kontingensi berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, kerajaan akan melaksanakan SHMMP Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan terkawal sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata, sebanyak 27 jenis barangan terbabit di bawah skim itu dengan tambahan satu produk kacang dal (Australia) berbanding 26 barangan pada tahun lalu.

“Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat 24 jenis barangan di bawah skim ini. Daripada jumlah itu, sembilan harga maksimum kekal, 13 harga turun, satu naik dan satu barangan baharu dimasukkan.

“Di Sarawak, lapan harga barangan kekal, 10 turun dan tiga meningkat dengan dua barangan baharu dimasukkan, menjadikan keseluruhan 23 barangan sementara di Sabah, sembilan harga kekal dan 12 turun di samping dua barangan baharu dimasukkan. 

“Di Wilayah Persekutuan Labuan, lapan harga kekal, 11 turun, satu meningkat serta dua barangan baharu,” katanya.

Beliau berkata, penurunan harga maksimum bagi sebahagian besar barangan itu dipengaruhi bekalan mencukupi serta pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini.

Skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan semua peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan yang dikawal.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, KPDN menyasarkan 1,898 siri PJRM dilaksanakan sepanjang Ramadan.

“Setakat semalam (9 Mac), sebanyak 910 program diadakan dan baki 988 lagi akan dilaksanakan sehingga sehari sebelum 1 Syawal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah barangan yang dijual dalam program itu daripada purata 40 kepada sekurang-kurangnya 50 jenis barangan terutama keperluan menjelang Aidilfitri seperti gula kastor yang diguna membuat biskut.-BH Online