KOTA BHARU: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM317.63 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pelaksanaan 19 projek strategik dibawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata peruntukan berkenaan adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan penyaluran awal untuk tahun ini sebanyak RM20.55 juta
“Projek berkenaan antaranya termasuk menaik taraf Stesen Pam Kemubu dan Kasa bernilai RM28 juta serta sistem melanikal pam bernilai RM40 juta.
“Selain itu, kita perkasakan mekanisasi dan teknologi pintar untuk jelapang padi. Menerusi peruntukan berkenaan, ia jelas menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan negeri ini sebaliknya sentiasa membantu,” katanya selepas merasmikan Karnival Cahaya Aidilfitri KPKM dan Majlis Iftar Kasih di sini, hari ini.
Mohamad berkata, seramai 700 pesawah di Kelantan menerima pampasan banjir dan skim takaful tanaman padi membabitkan keseluruhan nilai RM4.62 juta akibat banjir Disember tahun lalu.
Katanya, pampasan beekenaan membabitkan 1,500 hektar tanaman terjejas.
“Pampasan berkenaan meliputi RM3.58 juta pesawah dibawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), sebanyak RM891,000 kepada pesawah luar jelapang
dan RM146,000 kepada pesawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak,” katanya.-BH Online
