Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GAZA: Semua lintasan masuk ke Semenanjung Gaza, yang penting bagi penghantaran bantuan kemanusiaan serta pergerakan pesakit yang memerlukan pemindahan perubatan, ditutup pada Sabtu.

Israel dituduh mengambil kesempatan itu ketika pasukan tentera Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran.

Tindakan agensi kerajaan Israel berkaitan hal ehwal Palestin, COGAT, penutupan itu termasuk lintasan Rafah di sempadan selatan wilayah Palestin dengan Mesir.

Ia baru dibuka semula pada awal Februari bagi membenarkan sebilangan kecil rakyat Palestin menyeberang buat kali pertama selepas berbulan-bulan, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta orang terpaksa berpindah akibat serangan besar-besaran Israel ke atas wilayah itu, manakala Semenanjung Gaza kekal bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Pada pertengahan Februari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa pihaknya masih berdepan pelbagai halangan dalam usaha menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa ke Gaza.

Human Rights Watch dalam laporan Februari menyatakan sekatan Israel terhadap bantuan terus menyebabkan kekurangan bekalan ubat-ubatan, peralatan pembinaan semula, makanan dan air di wilayah itu.

COGAT dalam kenyataannya berhubung penutupan lintasan Gaza mendakwa bekalan makanan yang dihantar ke Gaza sejak bermulanya gencatan senjata mencukupi sehingga empat kali ganda keperluan penduduk.

Menurutnya, ‘stok sedia ada dijangka mencukupi untuk tempoh yang panjang’, namun tidak mengemukakan sebarang bukti.

Agensi kemanusiaan turut menyuarakan kebimbangan Gaza dan Tebing Barat akan lebih terabai susulan tumpuan global kepada serangan dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran. – REUTERS