Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya menghentikan segala tindakan provokatif dan melancarkan gencatan senjata segera tanpa syarat susulan serangan yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.

Ketegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu tiga negara itu kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.

Ini kerana katanya, sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung.

“Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.

“Malaysia dengan tegas menggesa Israel, AS dan Iran supaya menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri yang melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan Asia Barat berkata, serangan Israel itu disifatkan sebagai percubaan keji untuk mensabotaj rundingan yang sedang berjalan dan mengheret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung. 

Beliau berkata, AS dan Iran digesa meneruskan langkah diplomatik dan bukannya meningkatkan lagi ketegangan, dengan masyarakat antarabangsa juga perlu bertindak dengan segera tanpa pilih kasih. 

“Serangan ini penting untuk dinoktahkan serta-merta dengan tanpa syarat.

“Kebimbangan saya pada masa ini adalah keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di tempat lain di rantau ini. 

“Saya akan berhubung dengan rakan kongsi serantau mengenai langkah seterusnya membabitkan perkara ini,” katanya.

Semalam, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, sekali gus mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran dan memaksa pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi rahsia.

Menurut media rasmi Iran melaporkan Ali Khamenei, 86, kemudiannya terbunuh susulan serangan udara yang didakwa dilancarkan AS dan Israel, dengan kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.

Selain itu, serangan Israel-AS yang menyasarkan sebuah sekolah di Iran menyebabkan kematian seramai 108 pelajar.-BH Online