BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketatkan protokol keselamatan di semua pintu masuk negara susulan insiden tembakan terhadap kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rabu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kejadian itu memberi isyarat jelas bahawa aspek keselamatan sempadan tidak boleh dipandang ringan dalam keadaan geopolitik serantau yang semakin dinamik.
Beliau berkata, protokol keselamatan serta parameter kawalan di semua pintu masuk sempadan perlu dipertingkatkan serta-merta bagi memperkukuh tahap keselamatan negara.
“Langkah pertama ialah menyemak semula undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk akta berkaitan AKPS bagi memastikan ia mencukupi untuk menangani ancaman semasa.
“Sekiranya terdapat kelompangan, pindaan dan penambahbaikan akan dipertimbangkan supaya penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan, penahanan dan pelepasan di pintu masuk negara juga akan diteliti semula, selain pematuhan standard antarabangsa berikutan Malaysia terikat dengan pelbagai konvensyen antarabangsa termasuk garis panduan badan seperti International Maritime Organization (IMO) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).
“Dalam aspek operasi pula, kita lihat keperluan perkongsian maklumat secara menyeluruh antara polis, tentera, imigresen dan kastam tanpa lagi bekerja secara berasingan atau ‘silo’. Setiap agensi (penguatkuasaan) juga ada watch list (senarai pantau) masing-masing dan AKPS satu agensi baharu, jadi integrasi data adalah satu kemestian bagi membolehkan tindakan lebih pantas dan tepat diambil,” katanya.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kini dalam fasa awal termasuk pemasangan 635 pagar automatik di pintu masuk negara dan sistem saringan awal pengembara .
“Tapi sementara nak tunggu fasa itu lengkap pada tahun 2029, ancaman itu berlaku sekarang. Jadi sebab itu kita pertingkat kawalan akses berlapis, mesti bermula di sini dengan sistem biometriknya, pengesahan identiti mengikut pas-pas yang mana semua itu saya minta untuk disemak semula di bawah kawalan akses berlapis,” katanya.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemantauan pintar juga akan dipertingkatkan di kawasan berisiko tinggi.
Katanya, insiden berkenaan tidak boleh dilihat sebagai kes terpencil kerana tindakan tegas penguatkuasaan terhadap penyeludupan dadah, senjata, pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran mungkin mengundang tindak balas pihak tertentu.
“Apabila kita mengetatkan kawalan dan membanteras habis-habisan, pasti ada pihak yang tidak senang. Sebab itu kita perlu sentiasa bersedia,” katanya.-BH Online
