KUALA LUMPUR: Siasatan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan individu berpengaruh memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan setiap aspek diteliti secara menyeluruh.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penelitian terhadap laporan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
“Perkara ini masih dalam tindakan polis dan diharap semua pihak dapat bersabar. Sudah pasti siasatan akan dijalankan secara profesional serta berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.
“Sekiranya ada perkembangan, kita akan maklum,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan Polis Diraja Malaysia menyiasat seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.
Media turut melaporkan satu konspirasi terancang membabitkan penggunaan ejen pelobi asing dan agensi media antarabangsa terbongkar menerusi pendedahan dokumen sulit yang dikaitkan dengan keluarga tokoh berpengaruh.
Pendedahan ini menyusul selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan terhadap seorang individu berpengaruh tempatan atas dakwaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Sumber berkata, siasatan ini berakar umbi daripada satu laporan polis dibuat pada 26 Februari oleh seorang individu.
“Pengadu mendedahkan pada Julai 2025, satu pertemuan sulit diadakan di kediaman individu itu untuk merancang kempen ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu.

“Saya serah kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci, telus dan profesional. Pada saya, kedaulatan negara adalah isu serius yang perlu disiasat sedalam-dalamnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
