Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 28 Februari – Sektor agrikomoditi negara perlu dipacu secara lebih menyeluruh, radikal dan berfokus dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kementerian itu tidak lagi boleh mengamalkan pendekatan lama dalam mengurus sektor strategik yang menyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, sektor agrikomoditi tidak boleh lagi diuruskan dengan cara ‘business as usual’. Agenda peningkatan produktiviti mesti dipacu secara menyeluruh, radikal dan berfokus,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini.

Beliau menggariskan tiga perkara yang perlu diberi penekanan iaitu peningkatan kecekapan pengeluaran hulu melalui pertambahan hasil sehektar, pengukuhan rantaian nilai hiliran menerusi penghasilan produk bernilai tambah tinggi serta penerapan amalan terbaik dan kelestarian termasuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Negara tidak boleh terus bergantung kepada eksport bahan mentah. Kita perlu memperhebatkan R&D untuk menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Noraini menegaskan kebajikan pekebun kecil kekal menjadi agenda utama kementerian dan menuntut supaya bantuan serta subsidi disampaikan secara pantas dan telus.

“Saya mahu seluruh agensi memastikan penyampaian subsidi dan bantuan sampai ke tangan mereka yang benar-benar layak dengan pantas, telus dan tanpa kerenah birokrasi yang merumitkan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pendigitalan, mekanisasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta mengubah persepsi generasi muda terhadap sektor perladangan.-Berita RTM