Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 25 Februari– Berhubung insiden pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam di media sosial.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menasihati orang ramai untuk bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan luar jangka.

“Tindakan-tindakan yang tidak beradab ini perlu ditangani dengan segera dan kita juga mengambil langkah-langkah segera ini bagi memastikan ianya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang akan mengeruhkan lagi suasana. Pihak kementerian dan kerajaan juga tidak ambil mudah perkara seperti ini kerana perbuatan-perbuatan seperti ini akan menyebabkan lagi keadaan yang tidak baik dalam masyarakat kita dan akan menimbulkan rasa kebencian antara satu sama lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata langkah-langkah segera telah dilaksanakan pihak universiti dengan membuat laporan polis sejurus menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan dan tindakan lanjut kini bawah bidang kuasa pihak berkuasa.

Mengulas sama ada individu terlibat akan digantung atau dibuang dari UMPSA, Datuk Seri Dr Zambry berkata keputusan lanjut akan dibuat selepas laporan penuh diperoleh daripada pihak polis.

Terdahulu, polis menahan seorang pelajar UMPSA awal pagi tadi kerana disyaki memuat naik dan menyebarkan kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) menerusi media sosial.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghina agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.-Berita RTM