KUALA LUMPUR: Seramai 4,518 pegawai perubatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) kontrak akan dilantik ke jawatan tetap tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia sebagai tambahan kepada 18,397 pegawai perubatan kontrak yang sudah ditawarkan lantikan tetap antara tempoh 2019 hingga 2025.
Beliau berkata usaha itu sebahagian daripada inisiatif KKM untuk mempertingkat keterjaminan kerja bagi petugas kesihatan di bawah kementerian berkenaan.
“Bagi membolehkan urusan pelantikan tetap dilaksanakan, 1,500 jawatan tetap tambahan bagi pegawai perubatan akan diwujudkan di KKM tahun ini, selain daripada jawatan baharu yang akan diperoleh melalui pembangunan fasiliti baharu dan naik taraf; dan
“KKM juga akan mewujudkan 800 jawatan pakar perubatan dan 70 jawatan pakar pergigian setiap tahun, dengan langkah itu bermula pada 2023,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias [BN-Jelebu] mengenai strategi jangka panjang kerajaan untuk mengekang ‘brain drain’ atau penghijrahan tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam khususnya melibatkan doktor dan jururawat berpengalaman.
Menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching), Dr Dzulkefly berkata seramai 1,316 atau 29 peratus daripada 4,518 pegawai perubatan kontrak bersetuju menerima tawaran lantikan tetap bagi mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak.
Jumlah itu meliputi penempatan 548 di Sabah dan seramai 768 di Sarawak.
“Bagi jururawat, KKM diberikan pengecualian lantikan kontrak interim dan boleh melantik secara tetap jururawat mulai tahun lalu.
“Sehingga 31 Disember 2025, seramai 3,254 jururawat dalam kalangan pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), graduan institut pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S) dan Jururawat Masyarakat Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) dilantik secara tetap.
“Daripada jumlah ini, seramai 415 orang jururawat ditempatkan di Sabah, manakala seramai 260 orang di Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pengisian jururawat di Sabah dan Sarawak turut dilaksanakan menerusi penempatan semula jururawat berpengalaman dari Sabah dan Sarawak yang sedang berkhidmat di Semenanjung ke fasiliti KKM di negeri berkenaan.
“Justeru 131 jururawat sudah diluluskan pertukaran ke Sabah dan 104 ke Sarawak.
“Usaha ini dibuat bagi memberi peluang kepada jururawat berpengalaman berasal dari Sabah dan Sarawak ini untuk kembali berkhidmat di wilayah asal,” katanya.
Berhubung soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), beliau berkata kadar pengisian graduan perubatan di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara setakat bulan ini, berada pada tahap 53 peratus, apabila 6,500 daripada 12,198 kapasiti keseluruhan sudah diisi.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan tiada graduan perubatan yang menunggu kekosongan slot.
“Bagaimanapun, dianggarkan terdapat seramai 579 Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) yang diperakukan dalam mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia sedang menunggu penempatan di HLS yang berkenaan bagi memulakan latihan siswazah (housemanship),” katanya.
Menjawab soalan itu, Dzulkefly berkata sehingga 31 Disember lalu, seramai 8,674 pakar perubatan lantikan tetap dan 15 orang pakar perubatan lantikan kontrak sedang berkhidmat di KKM.
“Selain itu, seramai 32,172 pegawai perubatan, 11,541 pegawai perubatan kontrak dan 5,195 pegawai perubatan siswazah sedang berkhidmat di KKM.
“Peningkatan bilangan anggota kesihatan tidak terhad hanya kepada pegawai perubatan sahaja malah skim-skim kesihatan lain juga, dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu serta penaik penambahan blok-blok baharu di serata Malaysia.
“KKM akan sentiasa berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan adalah terjamin selaras dengan keperluan ,” katanya.-BH Online
