KUALA LUMPUR, 24 Februari – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menerima sebarang laporan kerosakan melibatkan aset miliknya susulan kejadian gempa bumi yang melanda perairan Sabah, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan infrastruktur di negeri itu dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal selamat digunakan penduduk.
“Setakat ini kita tidak menerima laporan aset di bawah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) termasuk struktur jalan dan sebagainya mengalami kerosakan akibat gempa bumi tersebut,” katanya pada sidang media Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) di sini, hari ini.
Semalam, penduduk sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat selama 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan negeri itu.
Setakat ini, tiada ancaman tsunami dikeluarkan.
Gegaran tersebut turut dirasai sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa daerah lain di Pantai Barat Sabah dan bebarapa kawasan di Sarawak.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada pukul 12.57 tengah malam dengan koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat pada kedalaman 678 kilometer.
Dalam pada itu, Datuk Seri Alexander berkata Malaysia menggunakan kod National Annex Malaysia MS EN 1998-1:2015 (2017) atau Eurocode 8 bagi memastikan reka bentuk struktur bangunan mempunyai ketahanan terhadap gempa bumi.-Berita RTM
