Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 24 Februari– Kerajaan telah mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) sejak dua tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dilaksana bagi mengelakkan bebanan kepada grid nasional.

Tambahnya, grid nasional masih mampu menampung pertambahan pusat data AI, berdasarkan unjuran semasa.

“Semua permohonan baharu yang tiada kaitan, iaitu hanya melibatkan pusat data yang menggunakan kemudahan air dan tenaga lebih murah, telah dihentikan.”

“Mengikut unjuran Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kapasiti masih mencukupi untuk permohonan baharu bagi tempoh satu hingga dua tahun. Bagaimanapun, terdapat inisiatif lain seperti projek ASEAN Energy Grid yang sedang diselenggara dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura, serta rancangan mendapatkan bekalan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Parlimen.-Berita RTM