Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran bagi murid tahun empat dan tingkatan tiga tidak akan mewujudkan semula budaya ranking atau penarafan sekolah sehingga memberi tekanan berlebihan kepada murid serta guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sebaliknya menekankan aspek integriti dan matlamat intervensi selaras dengan domain Pentaksiran Berasaskan Sekolah di bawah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, pelaksanaan matriks pembelajaran berkenaan akan dikendalikan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan (LP), meliputi penyediaan instrumen, panduan penskoran serta slip keputusan.

“Instrumen serta panduan penskoran akan disediakan dan dicetak oleh LP. Jadi guru tak perlu menyediakan instrumen bagi Matriks Pembelajaran ini, semua disediakan oleh LP.

“Selepas proses pentaksiran selesai, slip keputusan akan dikeluarkan oleh LP, pihak sekolah akan mencetak slip dan akan diedarkan kepada murid. 

“Kertas pentaksiran Matriks Pembelajaran Malaysia akan diberikan semula kepada murid selepas selesai proses perekodan untuk tujuan intervensi,” katanya menjawab soalan Senator Che Alias Hamid pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan Matriks Pembelajaran tahun 4 akan membabitkan mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, manakala sekolah aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut dinilai dalam mata pelajaran bahasa masing-masing.

Matriks Pembelajaran tahun empat dijadual dilaksanakan mulai Oktober 2026 manakala bagi tingkatan tiga bermula pada 2027, selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.

Fadhlina berkata, Matriks Pembelajaran bagi tingkatan 3 yang akan dilaksanakan mulai tahun depan, turut dikendalikan secara berpusat oleh LP.

Katanya, matriks berkenaan akan membolehkan pencapaian murid dinilai bagi membantu guru, sekolah dan Kementerian Pendidikan untuk merangka intervensi yang lebih berfokus dan intensif bagi memperkukuh penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid. 

“Data diperoleh daripada Matriks Pembelajaran dapat membantu sekolah dan guru untuk memahami keperluan murid dengan lebih tepat supaya sokongan boleh diberikan lebih awal dan bersasar. 

“Ini bermakna ruang untuk intervensi boleh dilakukan semasa murid berada di darjah lima dan enam. Ini penting, kerana anak-anak kita ini akan disiapkan untuk menghadapi tiga ‘assessment’, pentaksiran antarabangsa. 

“Mereka akan berhadapan CPLM, manakala di sekolah menengah, mereka berhadapan dengan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA),” katanya.

Fadhlina menegaskan isu integriti sentiasa diambil perhatian kementeriannya dan oleh itu LP mesti dilihat sebagai badan yang akan mengawal selia keseluruhan pelaksanaan Matriks Pembelajaran ini.

“Jadi soal kawal selia, dimana itu akan dilaksanakan oleh LP. Pada masa sama, bila kita melihat dari segi persiapan, kita sudah pun bersedia untuk melaksanakan pengantaran, penjelasan kepada semua pihak,” katanya.-BH Online