Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEMENYIH, 22 Februari – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka dua kertas siasatan terhadap dua premis yang dikenal pasti sebagai punca pencemaran bau di Sungai Kabul, di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata dua premis terbabit dipercayai menyebabkan pencemaran bau sehingga mencecah enam hingga tujuh ton di lokasi kejadian, manakala bacaan keseluruhan dilaporkan mencecah sepuluh ton.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua premis berdepan denda sehingga RM1 juta dan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Difahamkan, salah satu premis berkenaan pernah dikenakan kompaun pada tahun lalu atas kesalahan berkaitan.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil berdasarkan bukti dan hasil analisis makmal.

“Kedua-dua ini kita dapati telah menyebabkan pencemaran bau sehingga tahap 6 hingga 7 ton di buka saub dan di tempat kejadian daripada apa yang kita kesan sebenarnya ia sampai kepada 10 ton secara keseluruhan dan kita telah mengambil kertas siasatan di bawah enam luas tertentu yang boleh mendakwa sampai kepada denda sehingga RM1 juta dan juga penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan.” katanya pada sidang media sebelum membuat tinjauan di Sungai Kabul, petang tadi.

Kerajaan negeri turut mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap premis lain di kawasan sekitar bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin memaklumkan pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 400,000 akaun pengguna susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kabul.

Pengaktifan SJAM membolehkan bekalan air terus disalurkan sepanjang tempoh krisis yang berlangsung lebih 62 jam itu.

Sebanyak 535 juta liter sehari (MLD) berjaya disediakan sepanjang tempoh operasi tersebut, dengan lebih 1.3 juta liter padu air mentah digunakan bagi menampung keperluan loji rawatan air terlibat.

Menurut beliau, insiden yang berlaku kali ini merupakan yang paling lama pernah direkodkan, namun gangguan bekalan berjaya dielakkan hasil pemantauan rapi dan tindakan pantas agensi berkaitan.

“Jadi saya nak maklumkan salah satu daripada kejayaan penting kita pada hari ini bukan sahaja mengesan pencemaran, mengenal pasti punca pencemaran, mengawal pencemaran sebagaimana yang telah kita lakukan setiap kali berlaku pencemaran tetapi Skim Jaminan Air Mentah telah berupaya ataupun telah berkemampuan untuk menghalang ataupun untuk mengelakkan apa yang dikatakan gangguan bekalan air akibat daripada pencemaran yang berlaku.” katanya.

Operasi bersepadu itu melibatkan hampir 100 petugas daripada pelbagai agensi termasuk LUAS dan Air Selangor yang bertugas secara berterusan sepanjang tempoh kejadian.-Berita RTM